Manjaro 20.0 Lysia KDE: Arch Linux Yang Dipermudahkan

Internet, Software
217

Setelah beberapa lama bergelumang dengan Ubuntu dan Arch Linux, saya mula terasa ingin mencuba sesuatu yang baru. Dalam dunia Linux, semua perkara boleh jadi benda baru meskipun yang berbeza adalah dari cara pengurusan pakej, pemasangan, atau pun dari segi rilisan.

Begitulah jua apa yang boleh diungkapkan tentang Manjaro.

Nyatanya ini bukan pertembungan kali pertama antara saya dengan Manjaro. Saya menggunakan Manjaro seawal versi 0.8.1, dan ketika itu Manjaro boleh dikatakan agak baru bertapak. Tetapi pada waktu ini saya kembali mencubanya kerana niat awal ingin melihat sejauhmana perkembangan distro ini.

Manjaro ialah sistem operasi berasaskan Arch Linux yang mengambil beberapa falsafah serta cara pengurusan pakej namun dengan haluan sedikit berbeza. Ia masih mengekalkan Model Pembangunan ‘Rolling Release’, iaitu jika kita ambil contoh Ubuntu, untuk setiap selang beberapa bulan, ia akan digantikan dengan versi baru.

‘Rolling Release’ pula mengambil pendekatan untuk teras sistem yang sentiasa dikemas kini, dinaik taraf kepada versi terkini tanpa perlu diganti dengan sistem operasi baru.

Akan tetapi berbanding dengan Arch Linux pula, walaupun ia berasaskan sistem dan model pembangunan sistem operasi itu, Manjaro menggunakan repository sendiri bagi memastikan kestabilan dan kebolehgunaan/kebolehpercayaan yang berpanjangan.

Ini juga bererti kemas kini bagi pakej mungkin memakan masa lebih sedikit berbanding Arch Linux. Setiap perisian perlu melalui ujian oleh pembangun dan sekiranya perlu ia akan ditampal (patched) terlebih dahulu sebelum dilepaskan kepada pengguna.

Apa yang masih sama dipegang oleh keduanya hanyalah Arch User Repository (AUR).

Tetapi sebut mengenai AUR pula, Manjaro mempunyai pengurus pakej yang dikenali sebagai Pamac. Ia adalah pengurus berbentuk GUI, dan apa yang istimewanya adalah ia turut menyertakan sokongan terhadap AUR hanya dengan satu suis. Cukup sekadar anda alihkan ia kepada aktif, AUR akan terus boleh digunakan.

Pamac mungkin nampak seperti ringkas dari segi UI, tetapi ia menempatkan kesemua yang bagus ke dalam satu aplikasi. Itulah dia pengurus pakej/perisian, itulah dia pengemaskini sistem operasi, dan itu jugalah pengurus AUR. Tak perlu lagi anda tercari-cari untuk pemasangan. Hanya buka, klik, dan tunggu sehingga siap.

Oh ya, tidak lupa juga Manjaro kali ini menyediakan sokongan untuk Snap dan Flatpak dalam Pamac. Anda boleh pilih yang mana satu untuk diaktifkan, atau kedua-duanya sekali. Ini menjadikan pemilihan pakej dalam Manjaro lebih luas dan pelbagai, tidak lagi terhad pada satu sumber sahaja.

KDE Plasma

Apa yang boleh saya katakan mengenai persekitaran meja ini ialah ia merupakan edisi KDE Plasma yang berkuasa, matang, dan mempunyai pelbagai ruang untuk diubahsuai oleh pengguna.

Anda boleh jadikan paparan antaramukanya tampak seperti Windows 10, bahkan boleh juga menukar ia seakan kelihatan seperti macOS. Penukaran tema dan reka bentuknya juga lebih mudah, kerana anda boleh cari pelbagai jenis tema bagi menepati kehendak anda hanya melalui tetapan.

Inilah satu-satunya kelebihan KDE Plasma yang tidak terdapat pada persekitaran meja yang lain. Tidak lupa juga, ia amat ringan pada sumber sistem, tidak membebankan, dan mempunyai prestasi yang sangat baik. Atas kerana itulah saya memilih KDE Plasma pada kali ini, apabila hati sudah tertarik dan minda ada pelbagai idea untuk mengubahsuainya nanti.

Pendek kata, semua ciri yang anda suka, yang ada pada Arch Linux, ada pula pada Manjaro ini, dan paling penting, kesemuanya dipermudahkan.

Mungkin saya akan kembali ke Arch Linux, mungkin juga tidak, tambahan pula KDE Plasma yang digarap oleh pembangun Manjaro ini mempunyai tema yang sangat bagus, sekata, dan seragam.

Anda bolehlah mencubanya sendiri dengan memuat turun ISO di pautan ini: Manjaro Download.

https://omghackers.com/manjaro-20-0-lysia-kde-arch-linux-yang-dipermudahkan/

You might also like