Endless OS: Inikah Alternatif Chrome OS?

Internet, Software
0

Kalau ditanya kepada saya, Chrome OS ialah sistem operasi yang dibina atas kernel Linux, dengan paparan antaramuka atau desktop environment yang proprietary.

Jika dilihat dan diperhatikan, paparan antaramukanya meskipun dipenuhi dengan elemen Chrome (semestinya), ia banyak menyerupai GNOME 3.

Atas sebab itu apabila hadirnya Endless OS, saya agak teruja juga kerana selain paparannya yang mirip Chrome OS, ia juga dibina berasaskan Linux dan segala yang ada di dalamnya adalah sumber terbuka, bererti saya boleh mengubahsuai sistem ini sesuka hati saya.

ISO dimuat turun, dan kemudian terus dipasangkan ke dalam VirtualBox terlebih dahulu. Oh ya, ruangan SSD yang saya peruntukkan terlebih awal adalah untuk Ubuntu 20.04 yang akan dilancar pada bulan April nanti.

Setelah siap pemasangan, tetapan Endless OS pun diteruskan. Tidaklah sesukar mana, kerana tak sampai seminit pun ia sudah disiapkan.

Ya, beginilah rupanya Endless OS, versi 3.7.8.

Sekarang bandingkan pula dengan Chrome OS.

Gambar dari: 9to5Google.

Apa yang saya suka mengenai Endless ialah ia mengikuti konsep Chrome OS, iaitu sebaik boot ke dalam sistem operasi, anda akan terus dipapar kepada aplikasi dan aplikasi web yang selalu digunakan.

Ini termasuklah Facebook, WhatsApp, YouTube, Gmail, Skype, Twitter, dan pelbagai lagi aplikasi yang bertujuan menghubungkan anda kepada internet serta warganya.

Tak cukup? Hendak tambah aplikasi lain? Endless OS ada App Center.

Apa yang saya suka tentang Endless OS:

1. Pemasangan yang amat senang, sesiapa sahaja boleh lakukannya.

2. Pelbagai aplikasi tersedia, terutamanya dari kategori aplikasi web.

3. Sesuai diperkenalkan kepada kanak-kanak, kerana paparannya yang mesra pengguna.

4. Tidak perlu terkial-kial dengan Terminal, dan paparan hadapannya juga tidak menunjukkan sebarang bentuk Terminal, kerana Endless OS menggalakkan anda menggunakan App Center.

5. Paparan antaramuka yang tidak ubah seperti Chrome OS, tetapi kita boleh anggap ia ‘Chrome OS versi unlocked’.

6. Prestasinya sangat bagus meskipun dipasang pada peranti berspesifikasi sederhana.

7. Media seperti YouTube dan Netflix dapat terus digunakan tanpa perlu sebarang konfigurasi.

Apa yang saya kurang suka:

1. Disebabkan paparan antaramukanya yang mirip ke arah Chrome OS, jika hendak buat pengubahsuaian pun, saya tidak tahu hendak ‘tukar’ ia menjadi apa.

2. Saya masih belum jumpa di manakah sumber untuk menukar mirrors. Nampaknya Endless OS menyenangkan di satu sudut lain, dan menyukarkan pula di satu sudut yang lain.

Secara keseluruhannya, sistem operasi ini amat sesuai digunakan oleh pengguna baru. Selesai boot ke desktop, anda boleh terus gunakannya tanpa perlu apa-apa ubahan pada tetapan.

Disebabkan ia menumpu kepada penggunaan internet dan media serta kemudahan menggunakannya oleh pemula, maka Endless OS mempunyai sedikit limitasi.

Ia barangkali bukan untuk pengguna Linux yang gemar menokok-nambah sehingga tidak serupa lagi rupanya dengan yang asal, tetapi ia melengkapi buat mereka yang inginkan sistem operasi stabil, dan berfungsi terus dari luar kotak.

Muat turun di sini: Endless OS.

https://omghackers.com/endless-os-inikah-alternatif-chrome-os/

You might also like

Menu