Tamagotchi Gen 2: Generasi Terakhir Tamagotchi Dengan Skrin Hitam Putih?

Dari saya tingkatan satu lagi saya teringin hendak memiliki sebuah ‘cyber pet’ yang bernama Tamagotchi ini. Pernah juga bermain ‘tikam’ dan ia ‘mengena’, tetapi silapnya saya bawa ia ke sekolah pula, lalu dirampas oleh guru. Nak marah pun tak boleh juga, maklumlah, saya kena jaga nama baik mak saya yang mengajar di situ. Hehehe.

Masa berlalu, dan sekarang setelah semuanya sirna, minat hendak memilikinya masih ada.

Lalu saya cuba dapatkan generasi terkini Tamagotchi iaitu Gen 2, yang mempunyai variasi warna baru serta makhluk asing yang berbeza. Sebelum kita teruskan, eloklah kita buka kotak terlebih dahulu.

Di dalam kotaknya terdapat sebiji Tamagotchi, dan satu buku panduan pengguna. Selain dari ini, anda tidak akan jumpa apa-apa ‘harta karun’ yang menarik.

Tamagotchi dikeluarkan, dan lihatlah ia sebelum ia dibangkitkan dari tidurnya.

Secara asasnya, antara Tamagotchi versi pengeluaran semula iaitu Gen 1 dan Gen 2 ini, tiadalah ia banyak berbeza melainkan warna dan sedikit kelainan pada permainannya.

Tamagotchi yang sedang dieram dari telurnya.

Tamagotchi ini masih lagi mengekalkan reka bentuk serta ciri yang sama pada versi sebelumnya. Ia dibina dari bahan berasaskan plastik, dan skrinnya pula bukanlah skrin berwarna, serta tidak bernyala apabila ia diaktifkan.

Tamagotchi saya sudah keluar dari telurnya!

Sepertimana versi asal yang dipasarkan pada sekitar tahun 90an, Tamagotchi ini memerlukan begitu banyak perhatian. Berbeza dengan zaman tersebut di mana kurangnya notifikasi yang datang dari telefon pintar, kini agak mencabar juga rasanya hendak menjaga bayi makhluk asing yang banyak kerenah ini.

Apa yang saya kurang gemar pada teknologi ‘generasi lama’ ini ialah skrin LCD-nya yang tidak bernyala.

Jika anda gunakan ia pada keadaan cahaya optimum, maka tiada masalah. Anda akan dapat lihat ‘haiwan’ peliharaan anda itu dengan baik.

Tetapi jika anda mula mencuba untuk melihat ia dalam gelap, semoga berjaya. Memang tak nampak, dan ini satu kekurangan yang agak nyata di era skrin terang berwarna.

Jangan salah anggap dengan apa yang saya kata. Bukanlah ia bersifat negatif, melainkan lebih baik kiranya ia bernyala, sekurang-kurangnya kita akan dapat menjaga kebajikan makhluk tersebut apabila ia lapar, hendak mandi, atau bermain. Kelebihan skrin ini, ia tidak menggunakan bateri yang mudah didapati. Bateri digunakan adalah dari jenis CR2032, yang anda boleh dapati dengan mudah di kedai-kedai jam.

Sebut tentang bermain, pada model Gen 2 ini ia hadir dengan permainan berbeza, di mana anda perlu meneka nombor. Anda akan diberikan pilihan antara nombor 1 hingga 10, dan teka apakah nombor seterusnya lebih tinggi atau rendah dari nombor yang dipaparkan.

Ia tidak sama seperti Digimon, kerana tiada pilihan sambungan kepada Tamagotchi lain. Ini kekal hinggalah Bandai melancarkan Tamagotchi On, yang mana ia bercirikan skrin berwarna, serta dapat berhubung dengan Tamagotchi lain, berkahwin dan mempunyai anak.

Tamagotchi On.

Saya berhasrat (harapan baru!) untuk memiliki Tamagotchi On suatu hari nanti, apabila harganya sudah turun sedikit. Bukan apa, kalau ia boleh berhubung dengan Tamagotchi lain, tak puaslah kalau hanya beli sebiji sahaja. Kita mesti mahu dua!

Kembali kepada Gen 2, jika anda inginkan ‘cyber pet’ nostalgia ini dengan reka bentuk dan warna lama, anda boleh cari Gen 1. Jika anda inginkan warna baru, belilah Gen 2.

Harganya juga sudah lebih mampu dimiliki (lebih kurang RM70+). Sekarang, saya ingin tidurkan haiwan peliharaan saya ini. Selamat malam dan hasta la vista semua!

A regular tech blogger who have passions for cats.

Tamagotchi Gen 2: Generasi Terakhir Tamagotchi Dengan Skrin Hitam Putih?

Previous Post
NordLynx: Protokol Terbaru NordVPN Berasaskan WireGuard
Next Post
Apa Itu Teknologi Blue Core Dan VVA Pada Motosikal Yamaha

Related Posts

Loading...
Menu