© Provided by Media Prima Azih (dua kiri) beramah mesra dengan sebahagian daripada 400 penjawat awam Kelantan. FOTO Syamsi Suhaimi

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) desak kerajaan menaikkan gaji penjawat awam, tahun ini bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan yang lebih baik termasuk menangani peningkatan kos sara hidup.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, kajian dilakukan pihaknya mendapati gaji penjawat awam, masa kini tidak mencukupi untuk mereka menanggung bebanan sara hidup.

Malah lebih dari itu, katanya, pembelian rumah seperti Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Rumah Mampu Milik (RMM) juga bukan keperluan sampingan sebaliknya perkara wajib untuk memulakan kehidupan.

“Tetapi jika gaji yang diperoleh tidak mampu menampung kos sara hidup, makan pun tidak mampu untuk membeli apa diperlukan. Jika mereka mempunyai rumah, pasti akan terus jadi miskin.

“Apabila gaji kakitangan awam dinaikkan, ia bukan sahaja dapat membantu kedudukan penggajian mereka malah, membantu untuk mereka untuk merancakkan lagi industri hartanah dalam negara.

“Justeru itu, kami merasakan adalah wajar dan amat bertepatan untuk kerajaan mempertimbangkan satu inisiatif kenaikan gaji kepada seluruh penjawat awam, dalam masa terdekat ini,” katanya.

Beliau ditemui pada Program Transformasi Perkhidmatan Awam Isu dan Cabaran Penjawat Awam di Dewan Bunga Teratai, Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan) Datuk Adnan Hussin serta kira-kira 400 penjawat awam Kelantan.

Dalam pada itu, Azih berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana mengumumkan pelbagai tambahan kebajikan untuk pesara polis, baru-baru ini.

Katanya, beliau berharap perkara sama dipertimbangkan kepada pesara kerajaan yang lain dan kerajaan mencari kaedah untuk membantu mereka.

“CUEPACS juga berharap kerajaan tidak memansuhkan skim pencen dan ia diteruskan sampai bila-bila kerana gaji yang dibayar kepada penjawat awam tidak mencukupi untuk tabungan serta perbelanjaan masa depan.

“Sehingga kini, terdapat lebih 700,000 pesara kerajaan di seluruh negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd