15 restoran McDonald’s dilengkapi surau

News

Mc Donald’s pandu lalu Kuala Terengganu dilengkapi kemudahan surau lelaki dan wanita ketika Majlis Pelancaran Pembukaan Rasmi Dengan Wajah Baharu Mc Donald’s Pandu Lalu Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU – Sebanyak 15 restoran makanan segera, McDonald’s telah dilengkapi kemudahan surau dan jumlah itu dijangka bertambah selari dengan penubuhan rangkaian baharu restoran jenama itu yang bakal beroperasi di negara ini.

Pengarah Operasinya, Mohd Fairul Maan Roy berkata, 15 surau yang disediakan itu menerusi proses pengubahsuaian restoran termasuk di rangkaian McDonald’s Pandu Lalu Kuala Terengganu, di sini.

“Kuala Terengganu adalah lokasi pertama di Pantai Timur yang ditambah baik dengan kemudahan ini.

“Kita bercadang menyediakan kemudahan surau bagi kegunaan pelanggan beragama Islam di semua restoran baharu yang bakal dibuka di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pembukaan rasmi wajah baharu McDonald’s Kuala Terengganu Pandu Lalu di sini.

Turut hadir, Pengurus Operasi McDonald’s Malaysia Pantai Timur, Safna Sepian dan Pengurus Besar Restoran  McDonald’s Kuala Terengganu, Wan Muhairyzal Wan Muda.

Pada majlis itu, Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Ronald McDonald (RMHC) turut menyumbangkan sebanyak RM3,000 untuk Asrama Pra Tahfiz Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya).

Dalam perkembangan sama, Mohd Fairul berkata, tahun ini, pihaknya bercadang untuk mengubahsuai 20 lagi rangkaian McDonald’s.

“Pengubahsuaian di restoran ini akan turut mengambil kira model surau serta pelbagai kemudahan lain dengan teknologi canggih seperti kios pesanan layan diri,” katanya.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/15-restoran-mcdonald-s-dilengkapi-surau-1.786766

Menu