Redmi Note 7: Ciri Dan Nilai Terbaik Untuk Wang Anda?

Internet, Software

Rasanya sudah agak lama juga saya tidak membuat apa-apa ulasan sama ada dari segi produk-produk (gajet) mahupun telefon pintar. Maklum sajalah, blog ini tidak mendapat tajaan dari mana-mana syarikat bagi tujuan tersebut. Oleh itu semua ulasan memerlukan dana dari kami sendiri. Atas sebab itu jugalah beberapa bulan selepas peranti ini keluar, barulah ulasannya terbit di laman ini.

Kebetulan, saya memang meminati line-up Redmi ‘Note’, dan kebetulan juga telefon yang sedang saya gunakan tiba-tiba ‘rosak’, jadi apabila berganti, saya terfikir ada bagus juga jika saya ulas serba sedikit tentang telefon ini.

Buka Kotak

Apa yang ada dalam kotaknya?

  • Redmi Note 7.
  • Pengecas (5V-2A).
  • Kabel USB Type-C.
  • Alat pengeluar kad sim.
  • Bekas pelindung telefon (gelap-lutsinar).
  • Buku panduan dan kad waranti.

Spesifikasi

Redmi Note 7 dikuasakan oleh Qualcomm Snapdragon 660, beserta pilihan RAM sebanyak 3 atau 4GB, storan dalaman 64 atau 128GB. Model yang saya beli ini adalah dari varian 4GB RAM dan 64GB ruang storan dalaman, berharga RM799 mengikut harga keluaran (runcit) rasminya..

Selain dari ini, apa spesifikasinya yang menarik untuk diketahui?
Baik, saya cuba ‘dissect’ sedikit demi sedikit.

Pertama, kamera hadapannya menggunakan sensor 13MP OmniVision OV13855 beserta lensa aperture f/2.0. Kamera belakang pula menggunakan 48MP Samsung S5KGM1 berserta lensa 6 elemen dan aperture f/1.8. Ia dikombinasikan dengan 5MP sensor Samsung S5K5E8.

Bagi paparan skrin, ia dilitupi oleh ‘2.5D Corning Gorilla Glass 5 lengkung dan mempunyai resolusi 1080×2340, manakala bahagian belakangnya juga menggunapakai material yang sama.

Namun pada saya apa yang paling menarik adalah apabila audionya dikuasakan oleh chip Hi-fi AK 98937 beserta Smart PA (Power Amplifier). Chip audio seperti adalah amat-amat berguna kepada mereka yang mementingkan kualiti bunyi dalam menikmati kandungan media sama ada video ataupun audio. Bagi audiophile seperti saya, ciri seperti ini adalah satu bentuk bonus tambahan.

Selain itu, ia juga punyai bateri berkapasiti 4000mAh, dan hadir dengan pengecas berkelajuan ‘biasa’. Telefon ini menyokong Quick Charge 4, oleh itu anda perlu membeli sendiri pengecas yang menyokong pengecasan pantas ini kerana pengecas yang disediakan adalah ‘cap ayam’.

Perisian (OS)

Seperti yang anda sedia maklum, seperti peranti Xiaomi yang lainnya, ia dijalankan dengan MIUI. Sewaktu saya menerima unit ini dari Mi Store (IOI Mall Putrajaya), ia masih lagi menggunakan MIUI 10.2. Apabila pulang ke rumah, tetingkap kemas kini keluar memberitahu bahawa terdapat kemas kini yang akan menaiktaraf MIUI kepada versi 10.3. Tanpa bertangguh saya terus muat turun dan naik taraf sistem operasi.

Selesai sahaja proses kemas kini, ia menjadi versi rasmi 10.3.5.0(PFGMIXM) dengan Android versi 9.

Jadi, bagaimana dengan prestasi serta fungsi MIUI 10 ini?

Pertamanya, jika anda bukan peminat susun atur iOS, anda tidak akan sukakan papar mulanya, kerana awal-awal lagi anda akan dihadapkan dengan launcher yang tiada app drawer, tidak ubah seperti susun atur bagi iOS yang meletakkan kesemua aplikasi di hadapan skrin.

Keduanya, reka bentuk bagi sistem operasi ini adalah seperti KDE bagi Linux. Ia sarat dengan kepelbagaian fungsi dan pilihan (options), dan dalam masa yang sama rupanya tidaklah sama langsung dengan stock Android.

Ia direka bentuk pada awalnya bagi menarik minat golongan yang inginkan paparan seperti iOS tetapi mempunyai bajet seperti Lenovo (ini punchline).

Namun lama kelamaan MIUI semakin ada identitinya yang tersendiri. Walaupun ia masih mengekalkan launcher yang minimal, namun itu anda boleh ubah sendiri dengan memasang launcher lain. Saya sendiri memakai Nova Launcher Prime kerana ‘rindukan’ app drawer (app drawer dalam Bahasa Melayu apa ya? Dulang aplikasi?).

Adakah ia lag? Pada saya tidak.

Jika anda mahu tahu, salah satu ciri MIUI yang saya amat sukai ialah – apabila saya buka aplikasi seperti Facebook, setiap kali menatal (scroll) ia terasa sangat lancar, seakan-akan iOS. Diulangi, seakan-akan. Jangan ada fanboy iOS yang triggered pula. Tapi serius, ini adalah pendapat jujur saya. Tiada sesiapa yang bayar atau ugut nak tembak saya untuk tulis perkara ini.

Prestasi Peranti

Anda perlu tahu saya ‘datang dari mana’?

Atau orang Kota Kuala Muda akan tanya ‘Hang mai mana?’

Saya ‘datang dari’ peranti kelas pertengahan iaitu Meizu M6 Note yang dikuasakan oleh Snapdragon 625 dan juga Redmi Note 5 yang dikuasakan oleh Snapdragon 636. Oleh itu penambahan kuasa dari Snapdragon 625 dan 636 kepada Snapdragon 660 yang berada dalam Redmi Note 7 ini teramatlah dialu-alukan, walaupun tiada apa yang luar biasa ada pada prestasinya.

Saya sudah cuba dua permainan setakat ini, iaitu Asphalt 9 dan Kingdom Rush Vengeance. Untuk Asphalt 9, saya tidak pasti sama ada saya sudah mengaktifkan paparan resolusi maksimum atau tidak, tetapi setakat ini Snapdragon 660 tidak menghampakan.

Bagi Kingdom Rush Vengeance pula, saya bermain tanpa henti selama 3 jam dan jumlah bateri yang turun pula adalah lebih kurang 10-15% sahaja. Pemproses ini benar-benar jimat dan hemat dalam hal penggunaan kuasa.

Sesuai dengan kadar prestasi yang diberi, jika anda adalah seorang ‘serious gamer’ yang mana menjadikan permainan sebagai kerjaya, saya yakin anda pun patut tahu bahawa adalah lebih sesuai anda membeli peranti dengan pemproses flagship berbanding kelas pertengahan seperti ini.

Jika anda seperti saya, bermain sekadar hendak lepaskan lelah dan menghilangkan kebosanan, Redmi Note 7 sesuai dijadikan teman.

Ketahanan Kuasa Bateri Dan Kelajuan Pengecasan

Setakat ini, rekod tertinggi yang saya pernah dapatkan dari baterinya adalah Screen On Time (SOT) sebanyak 9 jam+, manakala bagi penggunaan biasa pula ia boleh menjejak tempoh waktu selama lebih dari 24 jam.

Penggunaan bateri ‘heavy’.

Penggunaan bateri ‘minimal’.

Secara teori dan logiknya, anda akan dapat menggunakan telefon ini dari pagi hingga ke malam tanpa perlu bimbang kehabisan kuasa bateri di waktu anda memerlukannya.

Bagi kelajuan pengecasan, saya gunakan pengecas pantas (Quick Charge 3.0) dari LDNIO yang dapat mengecas peranti dari 25% ke 100% hanya dalam tempoh 1 jam 45 minit sahaja. Bagi kabel USB Type-C pula, saya mengguna pakai dari jenama Baseus.

Pengecas pantas dengan sokongan Quick Charge 3.0 dari LDNIO.
Kelajuan pengecasan dengan pengecas LDNIO Quick Charge 3.0.
Kelajuan hanya perlahan setelah kapasiti bateri mencecah 94 peratus.

Setakat ini saya belum ‘jumpa’ lagi dengan pengecas yang menyokong Quick Charge 4. Jika saya dah berjaya dapatkannya, saya akan kemas kini data ini.

Pada MIUI terdapat satu bahagian tetapan khas untuk bateri dan pengoptimumannnya. Ia memberikan lebih kawalan kepada pengguna untuk menguruskan aplikasi yang menggunakan kuasa bateri di balik tabir.

Kamera 48MP Dan Kualitinya

Saya rasa, ramai yang tertanya-tanya akan bagaimanakah kualiti imej yang dihasilkan oleh kamera telefon ini. Saya sudah cuba menanti di mana hari menjadi lebih cerah di sekitar Putrajaya ini, tetapi malangnya sepanjang bulan ini hari senantiasa mendung. Tetapi saya akan berikan juga beberapa keping gambar sebagai contoh agar anda tidak kempunan.

Dari segi spesifikasinya, Redmi Note 7 menyediakan peranti ini dengan sensor 48MP Samsung S5KGM1 ISOCELL Slim – 0.8um pixel. Ia menyokong ciri Pixel Binning 4 dalam 1, yang mana secara teori ia sepatutnya dapat menambahbaik kualiti gambar yang diambil dalam keadaan kekurangan cahaya atau pada waktu malam. Dengan kaedah yang sama, imej bersaiz/resolusi 48MP dihasilkan.

Saya akan cuba terangkan perkara ini dalam satu artikel berasingan.

Gambarajah Pixel Binning.

Jadi bagaimanakah kualiti gambar yang dihasilkan oleh kamera Redmi Note 7 ini? Mari kita cuba lihat beberapa sampel yang saya sediakan. Ambil perhatian bahawa pada kebanyakan pemandangan ini saya gunakan mode ‘AI’.

Sampel gambar waktu langit mendung.
Sampel gambar 48MP.
Sampel gambar petang, lebih kurang pukul 4:05.
Tasik Putrajaya. Indah.
Suasana petang yang damai tetapi agak sibuk kerana orang sudah mula balik kerja.
Tangkapan malam, GSC Alamanda.
Tangkapan malam, aplikasi kamera Gcam.

Pada saya, kameranya jatuh dalam kategori ‘boleh diharap’.

Tangkapan pada waktu siangnya tidak mengecewakan, apatah lagi sewaktu langit mendung pun suasana tampak masih ‘cantik’. Manakala tangkapan waktu malamnya agak ‘membanggakan’ bagi peranti kelas pertengahan. Mode malam dapat mengambil gambar dengan perincian yang sangat baik, tanpa ada kekaburan pada subjek.

‘Highlight’ ciri sebenar kameranya bukanlah pada saiz megapixel yang besar, tetapi adalah pada kualiti mode malamnya. Ini adalah kerana megapixel besar tersebut dimanfaatkan dalam teknik pixel binning bagi menyerap lebih cahaya ke dalam sensor agar tangkapan malam menjadi lebih jelas dan terperinci.

Konklusi

Jika anda bukan seorang pemain tegar (hardcore gamer), anda lebih pentingkan tempoh masa sedia bateri yang lebih lama, serta lebih gemarkan hiburan media, Redmi Note 7 adalah menurut orang Kokdiang – best bang for bucks.

Ia hadir dengan Android Pie, MIUI 10, dan pelbagai fungsi menarik yang terdapat pada kameranya menjadi ciri-ciri utama dalam menentukan pembelian serta minat anda.

Ia mungkin akan membuka aplikasi lewat satu atau dua saat dari peranti yang menggunakan flagship chipset, tetapi kelewatan itu tidak akan membunuh anda, manakala penjimatan akan membuat anda tersenyum memandang wang dalam akaun bank yang masih berbaki.

A regular tech blogger who have passions for cats.

Redmi Note 7: Ciri Dan Nilai Terbaik Untuk Wang Anda?

Previous Post
Find a Website Designer: 6 Tips for Finding the Best Website Designer
Next Post
Google Hadirkan Berbagai Tools Traveling Dalam Web Baru Bernama “Trips”

Related Posts

Menu