Pop!_OS: Ini Bagaimana Ubuntu Sepatutnya Dijalankan

Internet, Software
29

Pop!_OS antara pendatang baru dalam dunia Linux. Bermula dari tahun 2018 dengan versi 18.04, ia menerjah masuk dengan satu kenyataan bahawa mereka boleh tawarkan dan berikan sesuatu yang lebih baik.

Berasaskan dari distribusi Ubuntu, Pop!_OS juga masih mengekalkan GNOME sebagai persekitaran meja. Pun begitu, tanpa sebarang solekan ekstra dari Canonical, ia menyediakan perisa vanila GNOME yang segar.

Tanpa modifikasi paparan antaramuka oleh tim Ubuntu, GNOME yang ditampilkan adalah ‘bersih’. Namun, ia tidaklah boleh dipanggil sebagai ‘Ubuntu dengan solekan berbeza’ kerana di dalam terasnya tersemat beberapa ciri yang menjadikan ia unik dan tersendiri. Mari kita lihat apa yang menarik pada sistem operasi ini.

Vanilla GNOME DE

Secara jujurnya saya bukan peminat GNOME, tidak kiralah ia datang dari Ubuntu, Fedora, mahupun Pop!_OS ini. Pada saya ia memerlukan klik ekstra dalam menjalankan operasi melainkan anda buat modifikasi pada sistem dengan memasang GNOME extension.

Cuma kelebihannya, disebabkan ia tersedia dalam keadaan GNOME yang bersih dari sebarang pengubahsuaian, maka ia lebih mudah ‘disolek’ sendiri oleh anda.

Cukup sekadar memasang beberapa extension dan ia sudah lengkap untuk digunakan.

Aplikasi Pra-Pasang

Aplikasi yang tersedia dipasang juga tidaklah seperti Ubuntu, di mana kebanyakan darinya boleh dikatakan sebagai bloatware. Apa yang ada dalam Pop!_OS sekadar cukup untuk anda mulakan sebuah sistem operasi.

Benar, terdapat pilihan pemasangan minimal dalam aplikasi pemasang Ubuntu, tetapi Pop!_OS sudah siapkan ia untuk anda. Tidak perlu anda fikirkan tentang bloatware lagi.

Kalau anda pun pakej atau aplikasi yang saya akan buang dan ganti ialah LibreOffice. Saya lebih gemarkan WPS Office lagi kerana paparannya lebih hampir kepada Microsoft Office.

Pop!_Shop

Pop!_Shop ialah pusat aplikasi bagi Pop!_OS. Dalam hal ini, Ubuntu Software Center (GNOME Software) tampil lebih baik (bolehlah dikatakan begitu) apabila ia menyokong pakej snap.

Sesetengah pengguna tidak gemarkan snap, manakala saya pula lebih bersikap neutral. Pop!_OS juga menyokong pakej ini, cuma anda tidak akan dapat jumpa pakej tersebut dalam Pop!_Shop.

Partisi Pemulihan

Partisi pemulihan atau Recovery Partition pada Pop!_OS ialah salinan penuh fail pemasangan sistem operasi. Ia boleh digunakan sama seperti salinan ‘live disk’ yang di-boot dari USB.

Seperti Windows 10, sistem operasi dapat dipasang semula atau diperbaiki menggunakan partisi pemulihan ini. Terdapat dua pilihan iaitu refresh dan clean install.

Refresh akan memadam pemasangan sistem operasi yang sebelumnya tetapi dalam masa yang sama ia akan mengekalkan data yang tersimpan dalam folder home. Clean install, seperti namanya akan memadam keseluruhan fail pada pemacu dan memberikan anda sistem operasi seperti baru.

Power Daemon

Ini salah satu ciri yang saya suka. Pop!_OS memberikan manfaat TLP yang akan memaksimakan kuasa bateri pada laptop anda.

Terdapat beberapa profil seperti high performance, balanced, dan battery saver.

Pengurus Firmware

Dalam Pop!_OS terdapat pengurus firmware yang akan bertindak mengemaskini firmware pada peranti sekiranya ada. Ia diintegrasikan pada aplikasi tetapan GNOME dan dapat diakses dengan mudah. Apabila terdapat kemas kini, cukup sekadar klik butang ‘Update’ dan pemasangan fail terus dibuat, sama seperti kemas kini untuk sistem operasi.

Konklusi

Ubuntu ialah sistem operasi matang, yang tidak dikhususkan untuk mana-mana perkakasan. Pop!_OS pula ditala kepada perkakas System76.

Cuma untuk mengatakan salah satu adalah lebih baik dari pesaingnya itu adalah agak sukar, kerana buat sesiapa yang dah biasa dengan Ubuntu, pasti lebih memilih paparan antaramuka dan temanya. Saya pula, cukup sekadar adanya pemilihan tema gelap, saya sudah berpuas hati.

Bagi Pop!_OS, dengan adanya versi untuk pengguna Intel/AMD dan versi berbeza untuk Nvidia, ia memudahkan pengguna dalam mendapatkan keserasian terhadap peranti masing-masing.

Apa yang anda pilih adalah apa yang anda percaya lebih sesuai dengan cara kerja anda.

Saya suka dengan Pop!_OS dan menganggap inilah dia bagaimana caranya Ubuntu sebagai sebuah sistem operasi patut dijalankan. Animasinya lebih lancar tanpa tersekat-sekat, dan modifikasi dapat dibuat tanpa UI bercanggah dengan extension.

Muat turun: Pop!_OS.

https://omghackers.com/pop_os-ini-bagaimana-ubuntu-sepatutnya-dijalankan/

You might also like

Menu