KeepSolid VPN Unlimited: Bagus Untuk Penstriman, Kecundang Bab Privasi

Internet, Software
4

Dewasa ini terdapat banyak benar pilihan servis VPN dengan pelbagai ‘selling point’ masing-masing. Ada yang menumpukan kepada penstriman, ada yang menumpu kepada privasi dan sekuriti, dan tidak kurang juga yang mencuba untuk jadi kedua-duanya.

Jika diberi pilihan, dah tentulah saya sendiri akan memilih untuk dapatkan kedua-duanya. Tetapi apabila ada satu yang terkompromi, maka pilihan tepat semestinya ke arah sekuriti serta privasi berbanding dapat membuat perkara lain.

Saya mempunyai kesempatan untuk mencuba sebuah servis VPN yang telah menempa namanya dalam beberapa laman web dengan niche privasi. Sebelum ini saya tidak pernah terfikir untuk mencuba apatah lagi mengulas mengenainya, tetapi orang kata ‘kalau dah jodoh’.

Paparan Antaramuka Pengguna

Di bawah ini ialah paparan antaramuka aplikasi KeepSolid VPN Unlimited pada Windows 10.

Oh ya, jangan tak tahu, dalam Arch Linux juga seperti inilah jua paparan antaramukanya. Dari sudut ini, saya boleh berikan 10/10 markah kerana terdapat banyak servis di luar sana yang masih melayan sistem operasi Linux seperti kelas kedua, dengan hanya membekalkan paparan antaramuka baris perintah (CLI).

Protokol

Antara ‘selling point’ KeepSolid ini ialah ia menawarkan protokol terkini yang sedang meningkat popularitinya iaitu WireGuard. Secara asasnya, WireGuard merupakan protokol yang lebih baik dari segi prestasi dan kualiti enkripsi.

Ini ialah sesuatu yang amat dialu-alukan.

Variasi Pelayan

Sepertimana PrivateVPN dan CyberGhost, KeepSolid juga cuba memisahkan pelayan-pelayannya kepada beberapa kategori untuk mempermudahkan pengguna memilih. Pilihan terbahagi kepada pelayan torrent dan penstriman.

Saya kerap menukar-nukar pelayan penstriman bagi menguji prestasinya. Apa yang boleh saya katakan, masih terlalu awal untuk terus bergantung kepada WireGuard kerana ada kalanya kelajuan yang diperoleh selepas bersambung menggunakan protokol tersebut adalah agak perlahan.

Ini belum disebut tentang klien untuk Linux yang langsung tidak mempunyai protokol tersebut.

Sekuriti

Besar harapan saya agar VPN ini dapat memenuhi sekurang-kurangnya pada sudut sekuriti.

Oleh itu percubaan pun dibuat, dan ternyata dalam bab sekuriti ia memenuhi ruang tanda pada kotaknya. Saya cuba memeriksa sekiranya terdapat kebocoran DNS, dan hasilnya memuaskan hati. Tiada sebarang kebocoran yang dapat mendedahkan alamat IP.

Bidang Kuasa

Tetapi dalam banyak perkara, KeepSolid nampaknya gagal soal privasi.

Pertamanya, ia mempunyai pejabat dan beroperasi secara sah di Amerika Syarikat (AS). Sepertimana yang kita tahu, AS ialah negara pengasas Perikatan Perisikan Antarabangsa 14 Eyes. Setakat yang saya cari, sememangnya belum ada lagi rekod buruk untuk KeepSolid, akan tetapi saya telah mengesan beberapa kelemahan dari segi sistem yang mereka jalankan.

Mereka mengenakan had peranti untuk pelan-pelan yang ada. Sebagai contoh, untuk pelan terendah, bilangan peranti maksimum yang boleh digunakan ialah 5 buah sahaja. Sekiranya anda telah mencapai tahap maksimum peranti, anda hanya boleh membuang peranti yang tidak diingini selepas 7 hari.

Malangnya sistem ini memerlukan KeepSolid untuk membuat log kepada peranti pengguna.

Walaupun mereka tidak menyimpan maklumat IP, akan tetapi mereka mempunyai sesuatu yang dipanggil sebagai ‘unique identifier‘. Dengan unique identifier ini, pertamanya mereka akan berjaya mengehadkan jumlah peranti mengikut pelan yang dipilih. Tetapi ia juga akan membolehkan KeepSolid untuk menghalakan terus identiti pengguna secara tepat.

Ini berlaku sendiri kepada diri saya apabila saya cuba untuk mendaftar akaun percubaan baharu bagi menggantikan akaun lain yang saya pinjam awalnya dari seorang kawan. Selepas berjaya mendaftar dan mendapatkan ID pengguna, tempoh percubaan saya tamat serta-merta walaupun masih belum digunakan lagi.

Apabila saya cuba mendapatkan informasi tentang apa sebenarnya yang berlaku, staf KeepSolid mengatakan bahawa saya sudah pun mempunyai akaun dengan mereka sebelum ini. Apabila diteliti rupanya mereka telah menyimpan maklumat terperinci mengenai laptop yang saya sedang gunakan.

Satu-satunya cara untuk ‘menghilangkan’ maklumat tersebut mungkin adalah melalui ‘format’ laptop ini. Itu pun saya belum pasti sekiranya unique identifier tersebut akan berubah.

Atas sebab inilah, saya berasa amat berat untuk mengesyorkan KeepSolid jika anda mementingkan soal provasi.

Konklusi

Dari segi aplikasi, paparan antaramuka, kesemuanya seakan sudah matang. Bayangkanlah, untuk Arch Linux/Manjaro pun aplikasinya sudah mempunyai GUI, sama seperti TorGuard.

Tetapi apabila tiba bab privasi, saya rasa KeepSolid sudah pun kecundang tanpa dapat diundang.

Bukan sahaja mereka beroperasi dari negara yang mengasaskan 14 Eyes, bahkan mereka juga menyimpan ID unik bagi setiap peranti yang digunakan oleh pelanggan hanya kerana mereka ingin mengehadkan jumlah peranti. Ini menyebabkan identiti pelanggan boleh ditala dengan tepat, menjadikan VPN ini tidak sesuai sama sekali untuk tujuan perlindungan identiti.

https://omghackers.com/keepsolid-vpn-unlimited-bagus-untuk-penstriman-kecundang-bab-privasi/

You might also like

Menu