Sudah lama rasanya saya menanti filem seperti ini lahir dari tangan pengarah Malaysia.

Ternyata saya tidak hampa.

Filem bertajuk ‘Geran‘ yang diarahkan oleh Areel Abu Bakar ini mengisahkan tentang dua orang sahabat baik, Pak Nayan dan Haji Daud yang juga rakan seguru dalam ilmu persilatan.

Namun disebabkan ada sejarah di antara mereka berdua, mereka saling berdendam dan persengketaan terus berlarutan.

Peluang bagi Haji Daud membalas dendamnya terbuka apabila Mat Arip (Fad Anuar) bertaruh dalam satu judi dan kalah. Akibat kekalahan itu, geran pusaka dipertaruhkan.

Begitulah serba sedikit sinopsisnya.

Percayalah, jalan cerita filem ini agak ringan sahaja, bahkan tiada pula ‘plot twist’ di akhirnya. Penyampaiannya lurus, dan pada saya itu bukan satu bentuk kekurangan.

Selling Point

Terus terang saya katakan, semangat saya hendak ke panggung hanyalah kerana saya seorang anak silat. Kalau nak dikatakan barisan pelakonnya yang menjadi daya tarikan, saya hanya kenal dan ‘cam’ beberapa nama sahaja seperti Namron, Fad Anuar, Taiyuddin Bakar, Aeril Zafrel, dan Azlan Komeng.

Nama-nama lain agak asing bagi saya kerana mereka masih baru, atau saya yang sudah lama tidak mengikuti dunia perfileman Melayu.

Tetapi kerana semangat hendak menonton aksi persilatan itulah yang mendorong kaki saya melangkah ke pawagam, dan apabila sesampainya diri saya di sana, agak terperanjat juga apabila melihat suasananya bagaikan ‘hari raya’ untuk bangsa Melayu.

Semuanya pakat bertanjak dan berbusana.

Sebut tentang Fad Anuar, saya agak tertarik dengan lakonan beliau yang membawakan watak ‘budak nakal kampung’, iaitu Mat Arip.

Ada antara dialog dilontarkan begitu senang diingati dan ia sungguh berkesan lagi melucukan.

Watak beliau menggambarkan sifat tipikal remaja kampung yang juga sudah biasa saya temui pada rakan-rakan saya sendiri.

Dari kegemarannya bermain snooker, bertaruh judi, hinggalah kepada berlumba kereta, itu semua perkara ‘normal’ bagi remaja yang terlalu dimanjakan, dan ia satu gambaran tepat.

Akibat dari ‘hobi’ berjudi inilah menjadi permulaan kepada semua masalah yang timbul kemudian.

Dekat Dengan Realiti

Saya kerap kali bosan menonton filem ‘aksi’ pengarah Melayu sebelum ini, kerana mereka suka menampilkan hero berbadan kekar berwajah kacak sebagai daya penarik penonton hadir ke panggung.

Tidak perlulah saya sebutkan tajuk filemnya, kerana filem aksi tempur tidak begitu banyak dan anda boleh agak sendiri yang mana satu.

Tetapi itu tidak berlaku dalam filem ini.

Bukan saya nak kata heronya tidak kacak, atau heroinnya tidak cantik, kerana sebaliknya juga yang berlaku (mereka tetap ‘elok paras rupa’).

Cuma apa yang hendak saya katakan, sekali imbas pengarahnya tidak begitu mementingkan daya penarik hanya bersandar kepada paras rupa apatah lagi populariti pelakon.

Pendekatan ini membuat filem terasa seakan lebih dekat dengan realiti apabila suasana kampungnya dapat dirasai, begitu ‘asli’ sekali.

Mereka memang asalnya dari kampung, serta loghat Utara juga sangat pekat lagi likat. Buat yang kurang faham, jangan bimbang kerana sarikata ada disediakan.

Penampilan Barisan Pelakon Baru

Kalau nak diulas tentang pelakon-pelakonnya, ternyata tidak cukup satu entri dan sangat panjang jadinya nanti. Tambahan kita ada Namron, yang membawa watak Pak Nayan dengan begitu menusuk hati sekali. Itulah dia bagaimana watak seorang ayah (dari Utara semestinya) yang lembut sekali mendidik anak-anak, dan berkata-kata dengan penuh berhemah.

Saya cuma teringatkan pelakon-pelakon baru seperti Khoharullah Majid dan Feiyna Tajudin.

Kalau nak diikutkan, hubungan yang terasa ‘asli’ seperti adik beradik hanyalah antara Fatimah (kakak) dengan adiknya Mat Arip. Antara Mat Arip dan abangnya Ali (Khoharullah) pula tidak begitu terasa dekat di hari.

Tetapi bila dikenang semula, sememangnya wujud keluarga yang begitu. Dari luar nampak hambar, tetapi abang mana yang tak sayang adiknya?

Tidak lupa juga lakonan dan aksi dari saudari Feiyna Tajudin. Saya berasa teramatlah bangga melihatnya. Dari lontaran suara, kepada lontaran penumbuk, keduanya sama ‘pergi’, sama padu.

Kemudian kita ada juga watak pak lawak seperti Mi Piang (Taiyuddin Bakar). Rasanya tak perlu lagi saya perkenal kepada semua. Taiyuddin, berlakon sebagai Taiyuddin. Dengan hanya menjadi dirinya sendiri pun memang sudah sedia lucu, apatah lagi perlu bertutur dalam loghat Utara, bertambah lucunya.

‘Piang’ ini kalau di tempat saya (Ipoh) bermaksud ‘curi’. Bila digelar ‘Mi Piang’, kita boleh fahamlah ciri individu tersebut bagaimana. Boleh jadi kaki curi barang motosikal, kereta, atau barang-barang kawan (heheh).

Koreografi Dan Sinematografi

Saya tiada masalah dengan koreografi tempurnya. Pada saya aksi pertempuran antara watak baik dan jahat sudah seimbang dan mantap.

Mudah kata, agak realisitik, sebagai contoh, ketika Ali berlawan dengan dua orang penjahat. Pada waktu itu dapat dilihat kedua-dua penjahat menyerang Ali serentak dan adakalanya mereka dapat mengambil kesempatan untuk dapat membuat pukulan atas kelebihan nombor yang ada (dua lawan satu).

Saya cuma kurang gemar kepada pergerakan kameranya.

Pada saya, majoriti watak sudah mahir seni tempur Melayu ini. Maka sudah tidak perlu kepada pergerakan kamera melampau, apatah lagi bergegar.

Saya sangkakan mata bermasalah, rupanya pergerakan kamera yang terlalu mengikut aksi, contoh jelas di akhir pertempuran, menyebabkan saya terpaksa menggosok mata beberapa kali.

Tetapi dalam banyak perkara, jujur saya katakan hanya itu sahaja yang saya rasa boleh diperbaiki. Selain itu, tiada apa lagi yang ingin saya lihat ditambah baik.

Jika filem Geran 2 dibuat, saya harap barisan pelakonnya dikekalkan.

Akhir Kata

Filem Geran pada saya banyak mengambil ‘vibe’ atau inspirasi dari filem-filem tempur lain seperti Merantau (Merantau Warrior) dan Ong Bak. Ada beberapa babak dalam filem yang sangat serupa dengan babak dari Merantau, yang mana pada sesetengah orang akan gelar ia sebagai plagiat idea, tetapi saya pula rasa ia lebih kepada ‘paying homage’ atau memberi penghormatan kepada filem sebelumnya.

Apa yang pasti, filem ini telah membuka lembaran baru dalam industri perfileman tanahair, yang mana sebelum ini ia hanya dipelopori dan dimonopoli oleh kalangan yang sudah sedia popular dan berwajah boleh laris.

Kali ini Geran membawa nafas baru dengan menampilkan wajah-wajah segar dan terbaik dari ladang… atau lebih sesuai lagi terbaik dari gelanggang.

Gambar-gambar sumber dari: Geran The Movie.

https://omghackers.com/geran-pertembungan-antara-hak-dan-batil/

Loading...
Menu