Apa Itu Bandwidth Throttling?

Internet, Software
1,174

Menurut hasil penyelidikan oleh M-Lab, kadar sekatan kelajuan internet mengikut negara adalah seperti berikut:

US (14%), UK (28%), Poland (35%), Singapore (53%), South Korea (74%), dan Malaysia (61%). Ini adalah hasil ujian pada sekitar tahun 2012-2013. Anda boleh jangkakan kadar ini semakin meningkat pada tahun 2020.

Kalau anda perasan, kelajuan internet yang anda langgan itu kadangkala laju, tetapi ada masanya perlahan hingga mengundang kemarahan. Ada pula kelajuannya laju untuk sesetengah aplikasi, manakala aplikasi yang lainnya pula perlahan kerana disengajakan.

Sebelum kita teruskan, ada baiknya jika anda baca dahulu mengenai Deep Packet Inspection di sini:

‘Traffic Shaping’ ialah kelajuan internet yang diperlahankan dengan sengaja oleh ISP, sama ada mengikut kepada kuota yang telah ditetapkan, atau berdasar kepada sasaran jam mahupun kawasan.

ISP akan menggunakan Deep Packet Inspection atau DPI pada pelayan mereka untuk memeriksa setiap packet (fail) yang melaluinya. Disebabkan ini, ISP anda akan dapat memperlahankan kelajuan muat turun atau muat naik bagi aktiviti-aktiviti yang banyak menggunakan bandwidth seperti torrent, penstriman, dan lain-lain lagi.

Selain dari kontrak yang ada menyebut tentang kuota data, ataupun kelajuan yang perlahan kerana situasi ‘semulajadi’ seperti trafik rangkaian yang sibuk pada waktu tertentu, traffic shaping atau bandwidth throttling yang dimaksudkan adalah perbuatan sengaja ISP memperlahankan kelajuan internet anda secara ‘rahsia’ atau ‘senyap-senyap’.

Kebanyakan ISP mendakwa bahawa dengan memperlahankan kelajuan pada aktiviti permainan, torrent, penstriman, dan sebagainya lagi membantu mereka melayani pengguna yang tidak menggunakan rangkaian jalur lebar secara intensif.

Ini bererti pengguna lain yang melanggan perkhidmatan tersebut tidak mendapat sepenuhnya servis yang telah dibayar. ISP dapat berjimat banyak kos dengan mendapatkan lebih ramai pengguna tanpa meningkatkan kapasiti rangkaian.

Bagaimana dapat dihentikan perbuatan ini?

Tiada lain caranya, melainkan bertukar kepada ISP/telco lain yang memberikan lebih nilai kepada wang anda dengan kuota data lebih besar atau tiada had penggunaan.

Hanya dengan menunjukkan kuasa kita sebagai pengguna, barulah ISP/telco akan beralah dengan kehendak kita yang mahukan kelajuan internet tanpa sekatan.

Contohnya, dulu saya gunakan webe (sekarang Unifi Mobile), tetapi telco ini kerap mengenakan sekatan kelajuan pada aktiviti tertentu. Selepas dari itu, saya mengambil keputusan untuk beralih kepada Digi, dan kemudian Maxis. Setakat ini masih belum terasa dikenakan apa-apa sekatan (kerana saya masih belum dapat habiskan kuota 300GB yang diberikan – 300GB yang dipanggil oleh Maxis sebagai ‘unlimited’).

Ada juga yang mencadang untuk gunakan VPN atau servis proksi bagi melangkau sekatan ini, tetapi saya tetap dengan pendirian bahawa meskipun VPN pada zaman ini sudah menyediakan ciri Anti-DPI, tetapi saya dapati ia bukan ciri mutlak yang membolehkan kelajuan kembali kepada asalnya.

Oleh itu kegunaan VPN, haruslah ditetapkan kepada tujuannya yang asal iaitu membuat enkripsi bagi melindungi pengguna dari pemerhatian pihak ketiga.

Benar, terdapat kaedah tertentu menggunakan VPN yang dapat membantu pengguna melangkaui sekatan ini – dan jika anda tidak dapat menahan diri dari mencuba, carilah VPN yang mempunyai Anti-DPI seperti TorGuard, Surfshark, NordVPN, dan sebagainya lagi.

https://omghackers.com/apa-itu-bandwidth-throttling/

You might also like