10 Tanda Peranti Android Anda Dijangkiti Malware

Internet, Software
4

Malware tidak biasa datang berlenggang. Ia pasti menyelit di sebalik aplikasi sah, atau pelbagai medium lain yang memudahkan ia menyusup masuk ke peranti tanpa dapat dikesan.

Kita ambil contoh kes trojan Android/Trojan.FakeAdsBlock, yang menjangkiti lebih dari 500 peranti. Bagaimana ia dapat menyelinap tanpa disedari pengguna?

Mudah. Ia menyamar sebagai aplikasi lain.

Dalam hal ini, ia menyamar sebagai aplikasi bernama Ads Blocker. Seperti namanya, ia mengiklankan diri sendiri sebagai aplikasi berguna untuk menyekat iklan, pada hal sebenarnya tidak lain tidak bukan ia adalah malware yang bukan sahaja tidak menyekat iklan, bahkan menambah lagi apa yang sedia ada.

Ini hanyalah salah satu contoh aplikasi hasad yang dapat mengganggu pengguna dengan iklan yang dibayar oleh pencipta, walaupun pengguna melihat aplikasi yang tidak berkaitan. Selain itu ia juga membuat klik palsu pada iklan dengan tujuan menggandakan lagi pendapatan.

Tetapi bagaimana kita hendak mengetahui peranti sendiri telah dijangkiti oleh malware seperti ini?

Antara tanda-tandanya ialah:

1. Iklan, iklan, dan iklan. Iklan berterusan yang entah dari mana, dan tidak kiralah aplikasi apa pun anda buka, tetap akan keluar iklan juga.

2. Terdapat aplikasi yang anda tidak cam pada peranti (ini jelas).

3. Anda pasang sesuatu aplikasi, tetapi ia ‘hilang’ dari ‘App Drawer’. Ikonnya langsung tidak kelihatan.

4. Penggunaan kuasa bateri melampau. Tidak dapat dipastikan punca kehilangan kuasa.

5. Aplikasi mengambil masa terlalu lama untuk dibuka berbanding kebiasaan.

6. Walaupun sudah dimulakan semula (restart) berkali-kali, telefon tetap terasa begitu lembap sekali.

7. Penggunaan data tidak dapat dikenal pasti sumbernya. Secara tiba-tiba sahaja data ‘bergerak’ banyak meskipun anda tidak muat turun atau strim.

8. Suhu telefon panas walaupun tiada sebarang ‘aktiviti’ dilakukan. Suhu panas boleh juga terjadi disebabkan oleh aplikasi yang melangkau pengurusan sistem penghematan bateri, cuma bagus anda lakukan imbasan virus untuk memastikan peranti bebas dari jangkitan.

9. Aplikasi kerap mengalami ‘crash’ atau ‘force close’. ‘Crash’/’force close’ ini biasa, terutamanya jika anda gunakan versi beta/alpha. Tetapi kalau sudah terlalu kerap walaupun anda memasang versi stabil, anda perlu periksa kembali peranti.

10. Tanda paling jelas ialah wang dari bank ‘hilang’, bil sampai mahal melebihi langganan, dan ada kata laluan untuk mana-mana akaun telah ditukar.

Adalah disarankan agar anda sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, berhati-hati terhadap apa jua yang diklik atau dipasang, dan kalau boleh gunakan antivirus. Ya, Android kini adalah sasaran pencipta malware. Jika anda terleka, bila-bila masa saja boleh menjadi mangsa.

https://omghackers.com/10-tanda-peranti-android-anda-dijangkiti-malware/

You might also like

Menu