Piala Dunia 2018 siaran RTM

Events, News

PERINCIAN berhubung penyiaran perlawanan bola sepak Piala Dunia 2018 oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) termasuk berkaitan penajaan akan dikongsi Selasa ini, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, satu sidang media berhubung perincian berkenaan seperti jumlah tajaan, bilangan perlawanan yang akan disiarkan dan keuntungan yang dijana akan diadakan.

“Semua orang teruja untuk tahu mengenai hal itu, jadi kita akan bawakan pasukan dari RTM bagi menjawab segala perkara berkaitan siaran bola sepak itu,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis berbuka puasa kementerian itu di Putrajaya, hari ini.

Beliau mendedahkan setakat ini Maxis Berhad adalah penaja utama rancangan itu.

Sebelum ini, Gobind mengumumkan kerajaan melalui RTM akan menyiarkan 41 daripada 64 perlawanan dengan kos sebanyak RM30 juta untuk membeli hak penyiaran Piala Dunia FIFA 2018 di Rusia bermula 14 Jun ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 27 perlawanan akan ditayangkan secara langsung, manakala bakinya disiarkan melalui siaran tertunda.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengesahkan kerajaan tidak akan membuat sebarang pembayaran kerana pihaknya berjaya mencari penaja untuk membiayai kos bernilai RM30 juta bagi siaran langsung Piala Dunia itu.

Ditanya kemungkinan terdapat penambahan jumlah tayangan siaran langsung, Gobind berkata, beliau sudah mengarahkan RTM untuk melihat perkara itu jika boleh dilakukan.

“Yang pasti perlawanan pembukaan dan perlawanan akhir akan disiarkan oleh RTM,” katanya.

Piala Dunia 2018 akan berlangsung di 12 lokasi di Rusia dengan perlawanan pertama dijadual bermula pada 14 Jun ini.

Terdahulu, Gobind menyampaikan sumbangan duit raya kepada 14 anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) serta 82 kakitangan kementerian dalam kalangan gred 14 dan ke bawah.

Previous Post
Facebook Mengakui Mereka Membaca Teks Dan Mengimbas Imej Yang Dihantar Pengguna Messenger
Next Post
Isu keselamatan: Australia mahu larang Huawei dari projek 5G

Related Posts

Menu